February 23, 2011


RAHSIA BAGAIMANA HUKUM DIPERKENALKAN DALAM KITAB AL-QURAN



Al-quran merupakan asas kepada hukum-hukum syara’, akan tetapi ia hanya mengandungi hukum-hukum dengan secara kulliy ijmali’ (umum dan ringkas) sedangkan perincian kebanyakan hukum diserahkan kepada sunnah nabawiyyah kemudian kepada ulama’ mujtahiddin. Kita sebagai hamba Allah telah diperintah oleh-Nya supaya mentaati Rasul-Nya yakni nabi Muhammad S.A.W :
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
MAKSUDNYA : Dan apa jua suruhan yang dibawa oleh rasuluallah kepada kamu maka ambillah akan ia serta amalkan dan apa jua yang dilarangnya kamu melakukannya, maka patuhi larangannya.
(AL-HASYR :7)
Dalam al-quran terdapat ayat yang menunjukkan perlunya merujuk kepada para ulama’ bagi memahami hukum-hakam syara’, Allah berfirman :
وَإِذَا جَاءهُمْ أَمْرٌ مِّنَ الأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُواْ بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُوْلِي الأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنبِطُونَهُ مِنْهُمْ
Maksudnya : dan apabila datang kepada mereka suatu berita mengenai keamanan ataupun kecemasan, mereka terus menghebahkan-Nya, padahal kalau mereka kembalikan saja hal itu kepada Rasuluallah dan kepada uli al-amr (orang-orang berkuasa) diantara mereka tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya diantara mereka.
( AN-NISA’ : 83)
Allah juga telah menunjukkan kepada keperluan ijtihad dan qiyas dengan firmannya :
فَاعْتَبِرُوا يَا أُولِي الْأَبْصَارِ
Maksudnya : maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.
(AL-HASYR:2)
Kadang kala al-quran memperincikan sesetengah masalah yang sifatnya tetap dan berkekalan seperti hukum-hukum kekeluargaan dan keseksaan. Kesimpulannya cara al-quran memperkenalkan hukum-hukumnya dalah dengan ringkas dan umum agar dapat merangkumi semua masalah terperinci yang berlaku sepanjang zaman. Inilah keunggulan bentuk perlembagaan yang ditetapkan oleh al-quran.
Al-quran menjelaskan hukum melalui tiga cara iaitu :
CARA PERTAMA : BAYAN KULLI
Ia bererti dengan menyebut beberapa kaedah dan prinsip-prinsip umum yang menjadi asas kepada cabang-cabang hukumdan dibinakan hukum-hukum itu di atasnya seperti :
i. Perintah syura, Allah berfirman :
وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ
Maksudnya : dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu (peperangan dan soal-soal keduniaan)
(AL-IMRAN : 159)
ii. Perintah belaku adil dan menghukumkan dengan adil, Allah berfirman :
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ
Maksudnya : sesungguhnya Allah memerintah supaya berlaku adil.
(AN-NAHL : 90)
iii. Manusia tidak bertanggungjawab atas dosa yang dilakukan oleh orang lain, Allah berfirman:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ
Maksudnya : dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja).
(AN-NISA : 58)
iv. Keseksaan bersesuaian dengan kesalahan, Allah berfirman :
وَجَزَاء سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا
Maksudnya : dan jika kamu hendak membalas yakni balasan sesuatu kejahatan ialah kejahatan yang bersamaan dengannya.
(ASY-SYURA :40)
v. Haram mengambil harta orang lain. Allah berfirman :
وَلاَ تَأْكُلُواْ أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُواْ بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُواْ فَرِيقاً مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya : dan janganlah kamu makan atau mengambil harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak makan atau mengambil sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.
CARA KEDUA : BAYAN IJMALI
Ia bererti disebutkan beberapa hukum dengan ringkas yang memerlukan penjelasan dan perincian. Antara contohnya adalah :
i. Kewajiban solat dan zakat, Allah berfirman :
وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ
Maksudnya : dan dirikanlah olehmu akan sembahyang dan tunaikanlah zakat.
(AL-BAQARAH :110)
Al-quran tidak menerangkan bilangan rakaat dan cara melaksanakan solat itu, maka Sunnah datang menjelaskannya dengan lebih terperinci. Demikianlah juga Sunnah menjelaskan hukum zakat, kadar dan nisab.
ii. Kewajiban haji, Allah berfirman :
وَلِلّهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلاً
(AL-IMRAN : 97)
Maksudnya : dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu dan berkuasa sampai kepadanya.
Sunnah pula berfungsi memperjelaskan dengan terperinci perkara yang berkaitan dengan haji. (rujuk riwayat muslim bab haji)
iii. Kewajiban qisas, Allah berfirman :
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِصَاصُ فِي الْقَتْلَى
Maksudnya :
Diwajibkan kamu menjalankan hukum qisas ( balasan yang seimbang ) dalam perkara orang-orang mati bunuh.
(AL-BAQARAH : 178)
vi. Halal jual beli dan haram riba. Allah berfirman :
وَأَحَلَّ اللّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا
Maksudnya :dan Allah telah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba.
(AL-BAQARAH : 275)
Kemudian, sunnah menerangkan jual beli yang halal dan yang haram dan yang dimaksudkan dengan riba.
CARA KETIGA : BAYAN TAFSILI
Cara ketiga digunakan dengan cara hukum-hukum disebut secara terperinci seperti saham atau habuan para waris dalam pembahagian pusaka, kaifiat talaq dan bilangannya, kaifiat li’an diantara suami dan isteri, wanita-wanita yang diharamkan berkahwin, sebahagian dari hukum hudud dan beberapa jenis hukum lain lagi. Penjelasan hukum secara terperinci oleh al-quran adalah perkara yang berkaitan dengan akhlak dan akidah.
Secara kesimpulannya, sekiranya semua hukum diperincikan dalam al-quran ianya akan menyebabkan terkeluar dari tujuan utama diturunkan al-quran iaitu tujuan hidayah dan irsyad. Sebaliknya didatangkan sebahagian hukum itu dalam bentuk kaedah dan prinsip-prinsip umum yang fleksibel adalah sesuai dan selari dengan ciri-ciri syariat islam yang umum dan kekal. Oleh itu, dapatlah dipecahkan hukum berdasarkan prinsip-prinsip umum itu dan dilaksanakannya ke atas masalah-masalah juziyyah yang berlaku pada sepanjang masa.

Share : Share On Facebook ! Share On Google Buzz ! Add To Del.icio.us ! Share On Digg ! Share On Reddit ! Share On LinkedIn ! Post To Blogger ! Share On StumbleUpon ! Share On Friend Feed ! Share On MySpace ! Share On Yahoo Buzz ! Get These Share Buttons ! Share On Google Reader ! Google Bookmark ! Send An Email ! Blog Feed !