September 21, 2010


60 Petua Mendapatkan Pasangan


Ketahui 60 Petua Mendapatkan Pasangan:

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.

2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.

3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.

4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.

5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.

6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.

7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.

8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.

9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.

10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.

11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.

12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.

13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).

14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.

15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan. Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.

16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya. Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.

17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.

18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.

19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.

20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.

21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.

22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.

23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.

24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.

25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.

26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.

27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.

28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.

29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.

30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.

31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.

32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.

33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.

34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.

35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.

36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.

37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.

38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.

39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.

40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.

41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.

42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.

43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.

44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.

45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.

46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.

47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.

48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.

49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.

50. Untuk jadi lebih menawan, berterusan belajar, perbaiki perangai dan peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, pemaaf dan sentiasa bersangka baik.

51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.

52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing, dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.

53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.

54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.

55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.

56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.

57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.

58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya Kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.

59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya Kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.

60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat.

Oleh: Dato’ Dr Hj Mohd Fadzilah Kamsah

Share : Share On Facebook ! Share On Google Buzz ! Add To Del.icio.us ! Share On Digg ! Share On Reddit ! Share On LinkedIn ! Post To Blogger ! Share On StumbleUpon ! Share On Friend Feed ! Share On MySpace ! Share On Yahoo Buzz ! Get These Share Buttons ! Share On Google Reader ! Google Bookmark ! Send An Email ! Blog Feed !


Makan lebihan nasi ibu atau anak

Fadzilah Kamsah: Makan lebihan nasi ibu atau anak.

Assalammualaikum.

Masa saya kecik-kecik dulu, mak selalu sangat suruh saya habiskan belen belen (sisa-sisa) nasi yang dia makan dan pagi-pagi sebelum pergi sekolah, mak akan tuangkan air teh untuk saya minum itu dan macam biasa, mesti ada sikit belen. Tapi taklah selalu, secara puratanya seminggu sekali mesti ada mak suruh buat macam itu.

Dan sampailah saya dah besar panjang nie pun situasi ni still berjalan either belen makanan mak atau abah. Tapi kalau belen makanan anak-anak memang jadi satu kepantangan bagi mak atau abah untuk habiskan. Kami kena habiskan sendiri atau akan dihabiskan oleh adik beradik yang lain. Samada kami perasan atau tidak. So satu hari itu tergerak nak tanya pasal isu ini kat mak.

Akhirnya mak dedahkan bahawa memang purposely dia buat macam itu sebab itu petua yang dia dapat dari arwah mak mentua dia sendiri (arwah tok perempuan kami sebelah abah). Kata mak, supaya hati anak-anak sentiasa melekat kat mak bapa. Dan saya sendiri akui kesannya. Makin umur kita meningkat, hati kita senantiasa belas tengok mak bapa kita yang makin tua itu.

Kalau kena marah, kena tengking, memang kami adik beradik diam membisu jer lah. Namanya nak menjawab balik memang tak dak walaupun kita tahu yang kita betul. Mak pesan, dah ada anak sendiri esok… jangan sekali-kali makan lebihan makanan anak. Samalah ceritanya dan mak kata juga, pagi-pagi jumaat masa dia bancuh air untuk kami semua, dia akan selawat 3x dan berdoa semoga kami selamat pergi dan selamat balik.

Guru saya pesan, antara kesan terbesar bagi ibu bapa yang tidak menunaikan solat Maghrib ialah mereka-mereka ini akan Allah cabut rasa hormat anak terhadap mereka. Solat berjemaahlah dengan anak-anak tiap kali waktu Maghrib. Kalau ada lebih dari seorang anak, suruh seorang azan dan seorang Qiam. Kemudian berganti-ganti bacakan doa lepas solat.

Ini yang kami sekeluarga amalkan sampai sekarang. Saya personally memang cukup malu kalau tak sempat solat jemaah maghrib dengan mak abah secara praktiknya. Inilah yang paling berkesan sekali. Tak caya try buat. Solat jemaah dengan anak-anak tiap kali Maghrib…dapat semua waktu lagi baik. Sangat besar ‘rahsia’ peranan dapur dan juga kesan solat jamaah walau hanya bagi waktu Maghrib.

“Apabila kita kejar dunia, dunia akan lari tetapi apabila kita kejar akhirat, dunia akan mengejar kita”. Just to ambil iktibar untuk mendidik diri dan family. Usia dunia sudah terlalu hampir ke penghujungnya, terlalu! Good if we can remind each other because in Rasulullah’s last sermon, baginda pun did mention that all those who listen to him (on shall pass on his words to others and those to others again and may the last ones understand his words better than those who listen to him directly.

Yang baik datang dari Allah dan yang kurang itu dari kelemahan diri saya sendiri.

Wallahu A’lam.

Share : Share On Facebook ! Share On Google Buzz ! Add To Del.icio.us ! Share On Digg ! Share On Reddit ! Share On LinkedIn ! Post To Blogger ! Share On StumbleUpon ! Share On Friend Feed ! Share On MySpace ! Share On Yahoo Buzz ! Get These Share Buttons ! Share On Google Reader ! Google Bookmark ! Send An Email ! Blog Feed !


MEMBINA IMEJ DIRI YANG POSITIF

 Petikan Dari: http://nisashahalam.blogspot.com/2010/09/membina-imej-diri-yang-positif.html



Membina imej diri yang positif adalah kunci bagi kita membina kebahagiaan hidup. Bila kita ada perasaan selesa dengan diri kita, orang yang di sekeliling juga akan rasa selesa dengan diri kita. Sebaliknya pula bila kita membenci diri kita, kita turut membenci orang yang di sekeliling kita. Bagaimana agaknya riaksi orang yang disekeliling kita bila kita dalam keadaan begitu ?



Cuba bayangkan , jika kita memandang diri kita sebagai orang yang tidak berguna, hanya menjadi beban kepada orang lain, ibarat melukut di tepi gantang yang hadirnya tidak memberi makna. Keadaan-keadaan ini sudah barang tentu menimbulkan rasa rendah diri bagi empunya diri apatah lagi ianya seolah memberikan peluang kepada orang di sekeliling untuk turut memandang rendah dan mengambil kesempatan pada diri kita. Sukakah kita untuk terus berada dalam keadaan begini ?


Cuba bayangkan lagi, jika kita berterusan dalam keadaan begitu, apakah akhirnya yang akan berlaku pada diri kita ? Jika kita sebagai seorang pelajar yang berterusan merasa rendah diri, mempercayai diri sering lemah dan tidak berkeupayaan, apakah kita berupaya mengikuti pembelajaran kita dengan baik apatah lagi memperolehi pencapaian yang cemerlang ?


Begitu juga bayangkan jika kita adalah seorang staf di sebuah organisasi apakah sumbangan yang mampu kita berikan pada diri sendiri selain mendapat gaji tetap secara bulanan, jika sering meletakkan diri sebagai lambat memahami arahan, tidak berkeupayaan melakukan tugasan yang diberikan ketua. Bagaimana agaknya nanti hubungan dengan rakan-rakan sekerja, hubungan dengan majikan dan paling utama keyakinan kita pada diri sendiri.

Jelasnya membina imej diri yang positif adalah penting kerana ianya memberikan keyakinan pada diri seterusnya kepada orang di sekeliling.


BEBERAPA CONTOH IMEJ DIRI YANG NEGATIF

* rendah diri

* terlalu cemburu

* bercakap perkara negatif tentang diri

* tidak mahu memberi dan menerima penghargaan

* terlalu banyak mengkritik orang lain

* tidak berkebolehan menerima dan meraikan kegembiraan

* sering membandingkan diri dengan orang lain (pandang rendah)


TIPS MEMBINA IMEJ DIRI YANG POSITIF


1. Terimalah diri anda secara seluruhnya

Individu yang memiliki imej diri yang negatif sering memandang rendah apa yang dimilikinya. Mungkin ia merasakan kulitnya tidak cantik dan sehalus orang lain , hidungnya tidak cukup mancung, bulu matanya tidak cukup melentik dan sebagainya. Tidak ada yang cantik dalam dirinya di matanya. Untuk membina imej diri yang positif, kita perlulah bersyukur dan rasa selesa dengan apa yang kita miliki.

Terimalah dengan redha rupa paras yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dianugerahkan termasuklah warna kulit, ketinggian berat badan, status ekonomi dan sebagainya. Terima dengan redha apa yang Allah anugerahkan yang secara nyatanya tidak boleh diubah

Cuma ubahlah satu perkara yang utama iaitu SIKAP KITA TERHADAP DIRI KITA !!


2. Bina sikap yang positif terhadap diri sendiri

Berikanlah tumpuan pada kekuatan dan potensi yang kita miliki. Senaraikan semua keistimewaan yang kita lihat pada diri. Hargainya dengan pujian dan kata-kata betapa kita menyayangi diri kita.

Jangan dihantui dengan kelemahan dan kesilapan yang berlaku. Bebaskan diri dari rasa takut dan bersalah. Jangan dibelenggu dengan pemikiran-pemikiran negatif mengenai diri.


3. Singkirkan fikiran yang negatif terhadap diri

Tentu pernah membaca cerita klasik mengenai Rapunzel. Bagaimana akhirnya beliau bebas dari penjara apabila didatangi oleh anak raja yang memuji rupa parasnya. Dengan menguraikan rambutnya yang panjang di luar jendela penjara, Rapunzel berjaya menyelamatkan diri. Bebasnya Rapunzel adalah kesan dari kepercayaan beliau terhadap dirinya yang sebenarnya memiliki rupa paras yang cantik dan tidak sebagaimana tohmahan dari ahli sihir yang menyatakan beliau memiliki rupa paras yang buruk.


Rumusannya bebaskanlah fikiran kita dari memikirkan perkara yang negatif tentang diri kita, perkara yang tidakpun wujud yang akhirnya memerangkap diri dari melakukan perkara yang memberikan menafaat pada diri .


4. Beberapa peneguh kata untuk menjadikan diri istimew

# Setiap hari saya akan berterusan menyayangi dan menghargai diri saya

# Saya sayangi semua yang ada pada diri saya – tubuh badan saya, pemikiran dan perasaan saya.

# Dengan menyayangi dan menghargai diri sendiri, saya boleh memberikan kasih sayang pada orang lain

# Saya seorang yang menarik, ceria dan punyai hubungan yang baik dengan orang di sekeliling saya


5. Lain-lain tindakan

√ Belajarlah untuk menerima dan memberi pujian/penghargaan pada orang lain

√ Selalulah berkata positif tentang diri sendiri

√ Beri pujian pada diri

√ Jaga kesihatan diri anda dengan rajin bersenam

√ Bergaullah dengan orang-orang yang punyai imej diri yang positif

√ Baca buku dan bahan-bahan bacaan yang boleh membina diri

√ Selalulah beri gambaran yang positif ten tang diri dan bukan perkaraperkara yang negatif

PENUTUP

Kita adalah apa yang kita fikirkan. Pembinaan imej diri yang positif bermula dengan apa yang kita fikirkan tentang diri kita. Dengan itu berfikirkanlah secara positif tentang diri sendiri. Sayangilah diri dan kita akan disayangi oleh orang lain.



HAJAH FOZILAH BT. ABD. HAMID (K.B.,P.A)

Kaunselor Kanan
Publish Post
INTECUiTM Kampus Seksyen 17
Julai 2007

Share : Share On Facebook ! Share On Google Buzz ! Add To Del.icio.us ! Share On Digg ! Share On Reddit ! Share On LinkedIn ! Post To Blogger ! Share On StumbleUpon ! Share On Friend Feed ! Share On MySpace ! Share On Yahoo Buzz ! Get These Share Buttons ! Share On Google Reader ! Google Bookmark ! Send An Email ! Blog Feed !

September 19, 2010


Peringatan Kepada Penuntut Ilmu Agama

Segala puji bagi Allah yang menguasai sekalian alam, maha suci Allah yang ilmunya di semua tempat tiada yang terlindung darinya yang zahir mahupun batin. Selawat dan salam ke atas Nabi junjungan Muhamad alaihissolat wassalam ahli keluarganya dan sahabat-sahabat baginda. Allah Taala berfirman dalam al-Quran;


{ أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً فَمَنْ يَهْدِيهِ مِنْ بَعْدِ اللَّهِ أَفَلا تَذَكَّرُونَ } [الجاثية: 23] .

Maksudnya; “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberi petunjuk sesudah kesesatan itu? Apakah kamu semua tidak mengambil pelajaran?”


Berkata Imam ibnu Kathir; (Dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu pengetahuan) iaitu dengan dua kemungkinan, pertama; Allah sesatkannya dalam keadaan dia mengetahui bahawa dirinya berhak untuk yang tersebut. Kedua; Allah sesatkannya setelah sampai kepadanya ilmu dan telah tertegak hujah keatasnya. Perkara kedua ini melazimkan perkara pertama dan tidak sebaliknya.”


Apabila ayat ini di kaji dengan Tadabbur, kita dapati ianya lebih mengarah kepada penuntut-penuntut ilmu Syara' yang sentiasa menaqalkan Kalam Allah dan Rasulnya, dan senantiasa bermain dengan hukum halal dan haram, walaupun zahir ayatnya adalah umum. Kita juga akan dapati bahawa disana terdapat satu golongan yang suka mengikuti dan tunduk kepada hawa nafsu mereka samada dengan tujuan kedunian ataupun dengan sengaja menjadi musuh berbahaya kepada islam iaitu Munafiqin. Dalam ayat yang lain Allah memberi peringatan;


وَلا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَذَا حَلالٌ وَهَذَا حَرَامٌ لِتَفْتَرُوا عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ إِنَّ الَّذِينَ يَفْتَرُونَ عَلَى اللَّهِ الْكَذِبَ لا يُفْلِحُونَ (116) مَتَاعٌ قَلِيلٌ وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ (117) }النحل

Maksudnya; “Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut oleh lidahmu secara dusta; ‘ini halal dan ini haram’ untuk mengadakan pembohongan terhadap Allah, sesungguhnya orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya. Itulah kesenangan yang sedikit dan bagi mereka azab yang amat pedih.”


Apa yang menjadi fokus ialah; "Mentaati hawa nafsu" sebenarnya berhubung kait dengan satu sifat Mazmumah iaitu takabbur atau sombong. Yang mana sifat ini merupakan maksiat pertama didalam tarikh penciptaan makhluk apabila Iblis engkar untuk bersujud kepada Nabi Adam sebagai tanda penghormatan lantas Iblis menjawab dengan penuh bongkak dan sombong; ‘Bagaimana mungkin aku sujud kepada makhluk yang engkau jadikan daripada tanah?’ Kerana sikap inilah Iblis dilaknat oleh Allah sehingga hari Qiamat. Kerana sikap ini jugalah Firaun dan Abu Jahal tidak beriman kepada Nabi yang diutus. Betapa berbahayanya sikap ini apabila Nabi bersabda;


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ مَسْعُودٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً قَالَ إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ.

Maksudnya; “Tidak akan masuk Syurga sesiapa yang didalam hatinya sikap sombong walaupun sekecil biji zarah, lantas berkata seorang lelaki; seseorang itu suka jika pakaiannya bagus?Nabi bersabda; sesungguhnya Allah itu cantik dan sukakan yang cantik, kesombongan itu menolak kebenaran dan merendah-rendahkan manusia.”[1] Maksud firman Allah; “Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong dan membangga-banggakan diri”[2]




Apabila kita membaca ayat keenam dan tujuh dari surah al-Fatihah, maka kita sebenarnya memohon supaya dikurniakan petunjuk yang benar iaitu jalan orang-orang yang dikurniakan nikmat Allah (an-Nabiyyin, as-Siddiqin, as-Syuhada was-Solihin) dan bukanlah jalan orang yang mendapat kemurkaan Allah iaitu orang-orang Yahudi, dan tidak juga jalan orang-orang yang sesat iaitu Nasrani (kristian). Orang Yahudi seperti yang dimaklumi, mereka adalah golongan yang mengetahui kebenaran tetapi tidak mengikutinya. Sewajarnyalah semua kita mengambil pengajaran dari orang-orang terdahulu bahawa punca kepada kekufuran mereka adalah angkuh dan sombong. Tidak mahu mendengar dan menerima kebenaran yang di sampaikan oleh para Nabi dan Rasul.


Semua ini berkemungkinan juga berlaku kepada mereka yang sombong dalam usaha mencungkil ilmu-ilmu Allah Taala disamping ianya menjerumuskan mereka kepada hawa nafsu yang membinasakan. Sebab itu, amatlah penting seseorang itu bersifat amanah, insaf dan taqwa. Kebenaran datangnya dari Allah taala, maka berhati-hatilah kita supaya tidak sekali-kali menolaknya, dikhuatiri Allah menutup pintu hati kita dari kebenaran itu untuk selama-lamanya.


Suatu perkara yang wajar diketahui ialah, kebenaran itu terkadang datangnya dari mereka yang tidak di sangka-sangka seperti yang berlaku dalam kisah Nabi Daud dan anak kecilnya Sulaiman Alaihissalam[3]. Subhanallah! Jika ini berlaku kepada seorang Nabi, siapakah kita untuk tidak berlapang dada mendengar penjelasan dari guru-guru mahupun sahabat kita? Memang, hakikatnya kebenaran itu satu sementara kebatilan pula tiada had penyudahnya!


فَذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمُ الْحَقُّ فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ (32) كَذَلِكَ حَقَّتْ كَلِمَةُ رَبِّكَ عَلَى الَّذِينَ فَسَقُوا أَنَّهُمْ لَا يُؤْمِنُونَ (33)يونس

Maksudnya; “Maka (zat yang demikian) itulah Allah tuhan kamu yang sebenarnya, maka tiada sesudah kebenaran itu selain kesesatan, bagaimanakah kamu dipalingkan dari kebenaran itu? Demikianlah telah tetap hukuman tuhanmu terhadap orang-orang yang Fasiq kerana sesungguhnya mereka tidak beriman.”


Ya Allah yang maha mendengar, perlihatkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan kurniakanlah kepada kami ketaatan untuk mengikuti kebenaran tersebut, perlihatkanlah kepada kami kebathilan itu sebagai kebathilan dan kurniakanlah kepada kami jalan untuk menjauhinya. Hanya Engkaulah yang mampu memberi petunjuk wahai tuhan sekalian alam.


[1] Hadis riwayat Imam Muslim

[2] an-Nisa ayat 36

[3] Lihat surah al-Anbiya’ ayat 78&79

http://yeopmadiny.blogspot.com/

Share : Share On Facebook ! Share On Google Buzz ! Add To Del.icio.us ! Share On Digg ! Share On Reddit ! Share On LinkedIn ! Post To Blogger ! Share On StumbleUpon ! Share On Friend Feed ! Share On MySpace ! Share On Yahoo Buzz ! Get These Share Buttons ! Share On Google Reader ! Google Bookmark ! Send An Email ! Blog Feed !

September 18, 2010


10 jenis penyakit penghalang kejayaan

10 penyakit tersebut adalah:

1. MENYALAHKAN ORANG LAIN
Menyalahkan orang lain adalah cara pemikiran orang primitif. Di pedalaman Afrika, kalau ada orang yang sakit, yang di fikirkan adalah: Siapakah yang menyihirnya ? Selalu”siapa” Bukan”apa” penyebabnya. Bidang kedoktoran moden selalu mencari “apa” penyebabnya, bukan “siapa”. Jadi kalau kita berfikir menyalahkan orang lain, itu sama dengan sikap primitif dan keanak-anakan. Kenapa ? Anak-anak selalu tidak pernah mahu disalahkan. Kalau ada piring yang jatuh,” Adik itu yang salah”, atau sebagainya.Kalau kita manusia yang berakal dan dewasa selalu akan mencari sebab terjadinya sesuatu.

2. MENYALAHKAN DIRI SENDIRI
Menyalahkan diri sendiri bahawa dirinya merasa tidak mampu. Anda pernah mengalaminya ? Kalau anda memberitahu tidak pernah, bererti anda bohong.”Ah, orang itu boleh, orang itu kaya, orang itu dapat naik pangkat dan sebagainya, Lihat saya ini apa ?, wah saya tidak dapat jadi seperti dia. Dia punya ijazah, saya hanya diploma. Dia ada banyak waktu, saya sibuk, sudah pasti tidak boleh”. Penyakit ini seperti kanser, bertambah besar, besar di dalam mental diri sehingga boleh mencapai “improper guilty feeling”. Penyakit ini perlahan-lahan boleh membunuh kita. Merasa “inferior”, kita tidak punya kemampuan. Kita sering membandingkan kejayaan orang lain dengan kekurangan kita, sehingga kejayaan orang lain dianggap wajar kerana mereka mempunyai sesuatu kelebihan yang kita tidak punya.

3. TIDAK PUNYA CITA-CITA
Kita sering asyik dengan kesibukan kerja, tetapi arahnya tidak jelas. Sebaiknya kita selalu mempunyai target kerja dengan milestone. Buat target jangka panjang dan jangka pendek secara bertulis. Kalau “GOAL” kita hanya untuk “FUN”, bagi mengisi waktu saja, hasilnya cuma biasa-biasa saja.

4. MEMPUNYAI CITA-CITA, TAPI SALAH MENCAPAINYA
Biasanya dialami oleh orang yang tidak “teachable”. Goalnya salah, fokus kita juga salah, jalannya juga salah, arahnya juga salah. Ibarat seorang yang mahu kaya,lalu dia pergi merompak bank yang akhirnya di tangkap polis dan di penjarakan.


5. MENGAMBIL JALAN PINTAS, SHORT CUT
Kejayaan tidak pernah dicapai dengan jalan pintas. Jalan pintas tidak membawa orang ke kejayaan yang sebenarnya, “real success”, kerana tidak mengikuti proses. Kalau kita menghindari proses, kejayaan yang di capai tidak sempurna.

6. MENGAMBIL JALAN TERLALU PANJANG, TERLALU SANTAI
Analoginya begini : Kapal terbang untuk membolehkannya take-off, harus mempunyai kecepatan minimum. Pesawat Boeing 737, untuk membuat take-off, memerlukan kecepatan minimum 300 km/jam. Jikalau kecepatan dia cuma 50 km/jam, manakan dapat untuk pesawat tersebut membuat take-off.

7. MENGABAIKAN HAL-HAL YANG KECIL
Dia mahunya yang besar-besar, yang hebat, tetapi hal-hal kecil tidak dilalukannya. Dia lupa bahawa struktur bangunan yang besar, pasti ada komponen yang kecilnya. Mahu saja yang hebat. Mengabaikan hal kecil saja tidak boleh, apatah lagi mengabaikan orang kecil.

8. TERLALU CEPAT MENYERAH
Jangan berhenti kerja pada masa percubaan 3 bulan. Bukan membuat kesalahan menjadikan seorang itu gagal tetapi berhenti pada tempat yang salah, jika kita membuat kesalahan, kita boleh memperbaikinya tetapi jika kita berhenti di tempat yang salah kita akan menyesal.

9. BAYANG-BAYANG MASA LALU
Kita selalu dipenuhi oleh memori kan? Apa yang kita lakukan, masuk memori kita, minimakan sebagai pertimbangan kita untuk langkah kita berikutnya. Apalagi kalau kita pernah gagal, tidak berani untuk mencuba lagi. Ini berkaitan dengan penyakit nombor 3. Kegagalan sebagai akibat bayang-bayang masa lalu yang tidak terselesaikan dengan semestinya. Itu bayang-bayang negatif. Memori kita kadang- kadang sangat membatasi kita untuk maju ke depan. Kita kadang-kadang lupa bahawa hidup itu maju terus. “Waktu” itu terus berjalankan? Semuanya berjalan, hidup kita pun terus berjalan juga. berlari saja ke depan, kalaupun harus jatuh, pastikan jatuh ke depan. Orang yang berjaya, pasti pernah gagal. Itu memori negatif yang menghalangi kejayaan.

10. MUDAH PUAS HATI DIRI DENGAN KEJAYAAN
Biasa disebut “Pseudo Success Syndrome”. Kita kalau pernah berjaya dengan kejayaan kecil, terus berhenti, tidak kemana-mana lagi. Sudah puas dengan kejayaan kecil tersebut. Napoleon pernah menyatakan: “Saat yang paling merbahaya datang bersama dengan kemenangan yang besar”. Itu saat yang paling merbahaya, kerana orang lupa dan mabuk kemenangan. Jangan terjebak dengan kejayaan-kejayaan yang kecil, kerana kita akan terlepas sasaran yang besar, sasaran yang jauh. Jangan berpuas diri, jangan jadi sombong, terus takabur.
Bersama2 lah kita cuba mencegah dan mengubati 10 penyakit ini agar kita mencapai apa yang kita

From: www.isuhangat.com

Share : Share On Facebook ! Share On Google Buzz ! Add To Del.icio.us ! Share On Digg ! Share On Reddit ! Share On LinkedIn ! Post To Blogger ! Share On StumbleUpon ! Share On Friend Feed ! Share On MySpace ! Share On Yahoo Buzz ! Get These Share Buttons ! Share On Google Reader ! Google Bookmark ! Send An Email ! Blog Feed !